AngelMafeya
Salam...
Nukilan ini aku tujukan buat kau. Kau yang mana? Kau lah.. Kau yang mula bertakhta di hatiku. Hehe.. Tapi, adakah aku juga mula bertakhta di hatimu?; hatimu yang sukar untuk aku baca isinya, hatimu yang susah untuk meluahkan apa perasaanmu terhadapku.

Hari berganti hari, minggu bertukar minggu, bulan bertemu bulan, perlukah aku masih menunggu jawapan dari hatimu tentang hubungan kita? Berbaloikah andai aku menantimu? Atau perlukah aku meneruskan pencarian yang entah untuk kali ke berapa? Berikan aku satu jawapan yang pasti tentang hubungan ini. Tidakkah kau ketahui bahawa wanita lebih menghargai lelaki yang berani berbicara terbuka soal cinta daripada diam seribu bahasa?

Soal cinta? Wujudkah cinta dalam hati kita? Andai ada, lafazkanlah kerana aku perlu tahu. Andai tiada, berusahakah kita kearah cinta? Jauh dalam sudut hati ini, aku mula merinduimu, mula menyayangimu dan mula mengasihimu. Walaupun di awal perkenalan kita, semua itu tidak pernah wujud sama sekali. Aku yakin kau juga begitu pada awalnya. Kan? Tapi, tentang cinta, aku tak pasti kerana aku sudah mula lupa tentang nikmat cinta. Aku lupa tentang bagaimana rasanya cinta. Aku lupa tentang manisnya cinta kerana pahitnya ditinggal cinta masih bersisa dalam hati ini.

Telah ku khabarkan pada bonda akan kewujudan dirimu dalam hidupku. Bonda kepingin sekali bertemu dirimu, tapi bagaimana harus aku suarakan hasrat bonda kepadamu kerana aku seorang wanita. Apa lagi yang boleh aku lakukan selain bersabar menunggu dan aku takkan pernah walau sekalipun untuk memaksamu. Biarlah rasa indah itu hadir tanpa paksaan. Andai benar kau tercipta untukku, aku bersyukur dan akan ku jaga hubungan ini hingga ke syurga. Tetapi, andainya kita ditakdir untuk berasingan, aku redha kerana setiap kejadian Allah pasti ada hikmahnya.

Setiap kali keluar bersama, aku rasa sangat bahagia tapi aku tak luahkan. Aku simpan jauh perasaan itu di dalam hati, khuatir andai hanya aku yang bertepuk sebelah. Setiap kali bila berjauhan, akan ada rasa rindu yang akan menjengah. Tapi, aku simpan jauh juga perasaan itu, khuatir andai hanya aku yang rasa kerinduannya. Hati akan dihimpit risau andai tiada khabar darimu yang ku terima. Tapi, aku tolak jauh dalam hati, khuatir aku hanya mengganggu kiranya aku bertanya khabar tentangmu. Setiap masa, hati ini ingin bersamamu, tapi ku kuncikan keinginan itu, ku pendamkan hasrat itu lantaran kau yang sepi tanpa bahasa. Ketahuilah, aku tak mungkin mampu membaca hatimu.

Siapa tahu kan, mungkin dalam diam, kita dah pun jatuh cinta. Tapi, kenapa kita tak tahu? Sebab kita tak pernah bicara tentang hati dan perasaan kita. Tak pernah walau sekali kau lafazkan kau menyayangiku, mengasihiku dan mungkin cuba untuk mencintaiku. Aku pun begitu, tak pernah terlafaz walau sekali. Yang ada cuma dalam sms; dimana 1001 andaian bole diterbitkan dari sms-sms yang pernah kita terima. Bila difikirkan, rasa sedih juga kadang-kadang. Tapi, takpelah.. mungkin aku perlukan lebih kesabaran untuk menunggu rasa indah itu hadir dalam diri kita. Aku akan menanti persis bintang menanti malam untuk berkerdipan.

Satu harapanku, agar kau sedar akan kehadiranku dalam hidupmu. Luahkan perasaanmu agar aku tidak terus tertanya-tanya siapakah aku padamu..

Wassalam.

p/s: ini hanya nukilan, curahan perasaan.. hehe...
0 Responses

Post a Comment